KUMPULAN PELABURAN MARA MEMACU MASA DEPAN RENDAH KARBON MELALUI PENYAMPAIAN KENDERAAN ELEKTRIK
KUALA LUMPUR

24 September 2025 – Kumpulan Pelaburan MARA hari ini telah menyampaikan kenderaan elektrik (EV) Proton eMAS 7 kepada pemenang bertuah inisiatif karbon neutral Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D). Inisiatif ini dilaksanakan hasil kolaborasi strategik antara Pelaburan MARA Berhad, melalui anak syarikatnya PMB Sustainable (dahulunya dikenali sebagai Edubiz Development Sdn Bhd) dan SC Sustainable Sdn Bhd (SCS).
Majlis penyerahan hadiah telah diadakan di Pusat Pameran Proton e.MAS, Jalan Tun Razak dan disempurnakan oleh Dato’ Mohamad Razali Mohamad Rahim, Pengerusi Pelaburan MARA, bersama-sama En. Najmi Haji Mohamed, Pengarah SCS. Hadir sama, En. Mahdzir Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, dan En. Hang Tuah Amin Tajudin, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment Berhad.
Penerima kenderaan, En. Mohamad Abdul Khalil Abdullah, seorang penjawat awam dari Kedah, merupakan pemenang bertuah daripada ribuan rakyat Malaysia yang menyertai kempen Journey to Carbon Neutrality di reruai Mampani.com semasa MK3D, satu karnival keusahawan terbesar yang berlangsung dari 30 Julai hingga 3 Ogos 2025.
Sepanjang acara lima hari itu, SCS sebagai perunding Pelaburan MARA memainkan peranan penting dalam mempromosi dan membangunkan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta projek kredit karbon, menandakan langkah signifikan ke arah peralihan karbon rendah di Malaysia. Pengunjung digalakkan membeli kredit karbon bernilai RM5 melalui aplikasi Mampani.com untuk menerima ganjaran seperti baucar makanan dan hadiah mesra alam.
Mengulas tentang kolaborasi ini, Dato’ Razali berkata, “Melalui usaha sama dengan SCS ini, kami mengambil langkah bermakna ke arah menjadi kumpulan pelaburan yang lebih berorientasikan tujuan. Kami melihat kelestarian kewangan bukan sekadar suatu aliran atau ‘trend’, tetapi sebagai laluan jangka panjang untuk menyampaikan nilai dari segi kewangan dan sosial.”
Sepanjang acara itu, kredit karbon yang dibeli menjana manfaat alam sekitar yang besar, sama seperti mengeluarkan 140 kenderaan petrol dari jalan raya selama satu tahun, menanam lebih 29,000 batang pokok, atau menghapuskan muatan 28 lori sampah dari tapak pelupusan.
“Manfaat alam sekitar yang dicapai melalui inisiatif ini menunjukkan impak sebenar kredit karbon, seterusnya menetapkan penanda aras untuk usaha kelestarian masa depan di Malaysia dan rantau ASEAN. Ini juga mencerminkan gerakan di mana individu dan syarikat bersama menyumbang secara aktif kepada matlamat Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang 2030,” tambah Dato’ Razali. Untuk maklumat lanjut mengenai Pelaburan MARA Berhad, sila layari www.pelaburanmara.com.my.
- T A M A T -
Mengenai Pelaburan MARA Berhad
Pelaburan MARA Berhad (Pelaburan MARA) merupakan sebuah syarikat pelaburan strategik dan perkhidmatan kewangan yang dimiliki sepenuhnya oleh MARA Corporation Sdn Bhd. Ditubuhkan pada 24 Jun 1967, Pelaburan MARA mempunyai kepakaran merangkumi pelaburan, pengurusan aset, pembiayaan Islam, penasihat korporat, dan perkhidmatan data pelaburan.
Ahli Kumpulan Pelaburan MARA termasuk:
PMB Investment Berhad
PMB Tijari Berhad
PMB Analytics Sdn Bhd
PMB Assets Sdn Bhd
PMB Consulting Sdn Bhd
PMB Sustainable Sdn Bhd (dahulu dikenali sebagai Edubiz Development Sdn Bhd)
Mengenai SC Sustainable Sdn Bhd
SC Sustainable Sdn Bhd (SCS) merupakan sebuah firma penasihat ESG dan kelestarian berpusat di Malaysia yang menawarkan penyelesaian menyeluruh dalam pembangunan projek karbon, pelaporan alam sekitar, dan kecerdasan data satelit. SCS membantu syarikat korporat, entiti berkaitan kerajaan (GLC), serta pemilik aset dalam mencapai hasil ESG boleh ukur.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
TAHA RUSYDI MOHD NAZRI
Ketua, Komunikasi Strategik
Pelaburan MARA Berhad
Tingkat 2, Wisma PMB, No 1A Jalan Lumut, 50400 Kuala Lumpur
T: 03-4145 3830
F: 03-4145 3801
M: 012-2737 685
taha.rusydi@pelaburanmara.com.my